Monday, February 14, 2011

Nasihat Ibnu Qayyim

Di dalam hati manusia ada kekusutan dan tidak akan terurai kecuali menerima kehendak Allah swt.


Di dalam hati manusia ada keganasan dan tidak akan hilang kecuali berjinak dengan dengan Allah swt



Di dalam hati manusia ada kesedihan dan tidak akan hilang kecuali seronok mengenali Allah swt



Di dalam hati manusia ada kegelisahan dan tidak akan tenang damai kecuali berlindung, bertemu dan berjumpa denganNya



Di dalam hati manusia ada penyesalan dan tidak akan padam kecuali redha dengan suruhan dan laranganNya serta qadha dan qadarNya serta kesenantiasaan sabar sehingga menemuiNya



Di dalam hati manusia ada hajat dan tidak akan terbendung kecuali kecintaan kepadaNya dan bermohon kepadaNya.



Kesentiasaan berzikir kepadaNya adalah keikhlasan sebenar kepadaNya.



Andai dunia dan isinya diberikan kepada manusia masih tidak lagi dapat membendunghajat hati sihamba itu.


Jadikanlah Dirimu Orang Alim

Dari Abu Bakrah ra., Dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Jadikanlah dirimu orang alim atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pelajaran agama, atau pun orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut); dan janganlah engkau menjadi (dari) golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa."


(Al-Bazzar)


Hadis ini menyuruh supaya tiap-tiap seorang menentukan sikapnya terhadap ilmu agama.


Huraiannya:


Tiap-tiap seorang dikehendaki menentukan sikapnya terhadap ilmu pengetahuan agama dengan salah satu dari empat cara, iaitu menjadikan dirinya orang alim yang mengajar atau orang yang belajar atau orang yang mendengar syarahan-syarahan agama atau pun orang yang mencintai dan menghargai salah satu dari tiga golongan yang tersebut dengan menurut jejak langkahnya.


Dengan sikap yang demikian, seseorang itu terjamin untuk mendapat keselamatan dan kebahagiaan, sama ada dalam perkara jasmaninya mahu pun rohaninya, kerana ia sentiasa dalam jagaan ilmu pengetahuan yang memimpinnya ke jalan yang benar dan memberinya kesedaran untuk memilih yang baik dari yang buruk dan yang hak dari yang batil.


Ada pun golongan yang kelima, iaitu yang tidak termasuk dalam salah satu dari empat golongan yang tersebut, maka mereka adalah golongan yang binasa, kerana mereka tidak ada pimpinan yang dengannya mereka dapat membezakan di antara yang benar dengan yang salah.


Imam Mawardi menyatakan: Bahawa orang yang menganggap ilmu syarak itu tidak ada faedahnya dipelajari dan lebih baik sahaja ditinggalkan, sebenarnya orang itu tenggelam dalam kesesatan dan jauh dan mendapat hidayat pertunjuk, serta ia termasuk dalam golongan yang kelima yang binasa.

Tuesday, February 8, 2011

SEKILAS PANDANG KEHIDUPAN IMAM AL-GHAZALI


Al-Ghazali sepintas lalu:

1058 - Lahir di Gazalah dekat Tus, Khurasan, bahagian utara Iran
1077-1085 - Berguru kepada al-Juwani (m. 1085 M), ahli fiqh dan Guru Besar Madrasah Nizamiyah
1090-1094 - Belajar dan mendalami bidang falsafah
1091 - Mengajar di Madrasah Nizamiyah, Baghdad
1095 - Menghadapi ‘konflik batin’, krisis kepercayaan dan sakit
1095-1105 - Meninggalkan Baghdad, melakukan pengembaraan sipiritual dan menjalani hidup zuhud
1106 - Kembali ke Nisabur dan mengajar di Madrasah Maimunah Nizamiyah
1108 - Meninggalkan Nisabur dan mendirikan sekolah sufi di Tus
1111 - Meninggal dunia di Tus



Al-Ghazali merupakan seorang ahli teologi, falsafah, dan sufi besar dalam Islam. Beliau dilahirkan pada tahun 450H/1058M di kota Gazalah dekat Tus, Khurasan, bahagian utara Iran. Namanya dinisbahkan kepada tempat kelahirannya. Nama lengkapnya adalah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Tusi al-Ghazali. Di bidang keilmuan, pada mulanya beliau mendalami ilmu fiqh, kemudian mempelajari secara mendalam ilmu kalam dan ilmu falsafah. Setelah namanya harum sebagai seorang sarjana, pada tahun 1091 Al-Ghazali dilantik menjadi Guru Besar Undang-Undang oleh Nizam al-Mulk (1018-1092), perdana menteri Sultan Maliksyah (1072-1092) dari dinasti Seljuk, di Madrasah Nizamiyah di Baghdad. Beliau sempat mengajar di madrasah itu selama empat tahun dan pada zaman itulah beliau menulis karyanya Maqasid al-Falasifah dan Tahafut al-Falasifah.

Al-Ghazali dianggap sebagai pembela kebenaran Islam yang terbesar sehingga digelar Hujjatul Islam atau “pembela Islam”. Sehingga sekarang orang muslim tetap tekun membaca karyanya yang terbesar, Ihya’ Ulum Ad din (Menghidupkan Kembali Ilmu Agama).

Disebabkan kehidupannya ‘terganggu’ oleh krisis kepercayaan dan keraguan, pada tahun 1095 Al-Ghazali meninggalkan Baghdad dan mengembara dari suatu tempat ke suatu tempat. Pada mulanya beliau pergi ke Damsyik, kemudian ke Hebron dan Baitulmaqdis, kemudian ke Mekah dan Madinah. Beliau menjalani kehidupan zuhud dengan mengembara selama 10 tahun. Setelah itu beliau kembali ke Nisabur pada tahun 1106, menjadi tenaga pengajar di Madrasah Maimunah Nizamiyah. Tidak berapa lama kemudian, beliau meninggalkan Nisabur, pergi ke Tus dan mendirikan halaqah (sekolah calon sufi) di tempat kelahirannya ini. Beliau mengurus halaqah ini hingga akhir hayatnya.

Perjalanan intelektual dan spiritual dalam menemukan kedamaian batin serta mengikuti jalan sufi telah beliau abadikan menerusi autobiografinya yang berjudul al-Munqiz min ad-Dalal (Pembebas daripada Kesesatan).

Al-Ghazali dianggap paling berjasa dalam ‘mendamaikan’ antara tasawuf dengan syariat sehingga tasawuf dapat diterima oleh sebahagian besar umat Islam. Beliau juga berjasa mengembangkan serta menyebarkan aliran Asy’ariyah yang dianut oleh  majoriti  Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Al-Ghazali mengkritik pandangan dan penemuan para ahli falsafah dan akhirnya memilih tasawuf sebagai jalan menuju Tuhan. Dalam kritikannya terhadap para ahli falsafah menerusi karyanya Tahafut al Falasifah, beliau mengatakan bahawa ada tiga pendapat para ahli falsafah yang telah membawa mereka kepada kekufuran, iaitu bahawa alam ini adalah qadim, dalam erti tidak bermula dalam waktu; Tuhan tidak mengetahui bahagian sekecil-kecilnya dalam segala kejadian alam ini dan tidak ada kebangkitan jasmani pada hari kiamat.

Akhir sekali mari kita renungi sepotong ayat al-Quran dalam surah al-Mujaadalah ayat 11 yang bermaksud:

“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”